BERITA UTAMA

Hujan lebat punca cerun tidak stabil, ratusan berisiko runtuh

11 Mac 2022, 1:07 PM
Hujan lebat punca cerun tidak stabil, ratusan berisiko runtuh

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Kerajaan Selangor mengenal pasti lebih 150 cerun yang berisiko tinggi untuk berlaku tanah runtuh terutama sekitar Gombak, Ampang dan Hulu Langat.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Ir Izham Hashim berkata cerun terbabit yang dikenal pasti menjadi tidak stabil akibat air hujan melampau sehingga menjejaskan kawasan itu.

Beliau berkata sebahagian besar cerun berisiko dikenal pasti selepas banjir di Selangor pada Disember lepas.

"Kita sudah minta Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia menjalankan pemantauan dengan lebih meluas dan dengan teknologi yang ada sekarang, kejadian tanah runtuh seperti ini dapat diminimumkan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang hari ini.

Mengulas kejadian tanah runtuh itu, Izham berkata kawasan tersebut tidak termasuk dalam senarai cerun yang berisiko.

"Kebiasaannya apabila berlaku kejadian tanah runtuh, akan ada petunjuk seperti keretakan dan runtuhan sedikit tetapi dalam kejadian di Taman Bukit Permai 2, tiada indikasi serta berlaku secara mengejut," katanya.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini petang semalam meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Izham turut menolak kemungkinan kejadian bongkah batu yang terjatuh dari bukit berhampiran Pangsapuri Intan, Taman Bukit Permai pada 9 Mac lepas adalah petunjuk awal insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2.

Beliau juga berkata kejadian bongkah batu terjatuh berhampiran pangsapuri berlaku kira-kira empat kilometer dari lokasi insiden tanah runtuh semalam.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619