AGENDA

Khuatir tanah runtuh berulang, lebih 200 penduduk diminta segera pindah

11 Mac 2022, 6:57 AM
Khuatir tanah runtuh berulang, lebih 200 penduduk diminta segera pindah

AMPANG, 11 MAC : Lebih 200 penduduk di  kawasan insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini diminta segera mengosongkan kediaman susulan dikhuatiri berlaku pergerakan tanah.

Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad berkata penduduk boleh berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang terletak berhampiran kawasan tersebut.

"Sebanyak 48 rumah di empat lorong diminta segera kosongkan kediaman bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Kita bimbang keadaan menjadi lebih buruk tambahan pula cuaca  sekarang tidak menentu.

"Namun buat masa ini tiada mangsa yang berpindah ke PPS. Penduduk terjejas memilih untuk tinggal di hotel dan rumah saudara," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata kerja pembersihan belum boleh dilaksanakan kerana agensi berkaitan perlu meneliti aspek kestabilan cerun berkenaan.

"Selain itu pusat pengurusan bencana daerah terdiri pelbagai agensi turut diwujudkan antaranya melibatkan MPAJ, Jabatan Kerja Raya, polis dan bomba bagi memastikan urusan mengendalikan kejadian itu dilaksanakan dengan teratur," katanya.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619