BERITA UTAMA

Dana jawatankuasa perubahan iklim manfaat untuk aktiviti kajian

28 Feb 2022, 12:26 AM
Dana jawatankuasa perubahan iklim manfaat untuk aktiviti kajian

SHAH ALAM, 28 FEB: Dana tambahan disalurkan Kerajaan Selangor kepada jawatankuasa khas perubahan iklim bakal digunakan untuk menjalankan aktiviti kajian dan penyelidikan.

Hee Loy Sian yang dipertanggungjawab memegang portfolio baharu itu berkata pihaknya akan menjalin kerjasama dengan saintis dan pakar dari universiti untuk membuat kajian menyeluruh berhubung perubahan iklim.

Beliau menjelaskan kajian itu termasuk faktor Selangor dilanda hujan lebat luar biasa pada akhir Disember tahun lepas meskipun moratorium pembalakan sudah berkuat kuasa sejak 2010 untuk tempoh 25 tahun.

"Sekarang tiada pembalakan, jadi mengapa perubahan iklim kita (Selangor) luar biasa? Kemungkinan disebabkan pertambahan kenderaan berat dan pembebasan karbon dari kilang serta bangunan.

"Jadi, kajian-kajian seperti ini akan dibuat kerana dengan penjenamaan (portfolio), kita ada pertambahan peruntukan," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Selangor Journal baru-baru ini.

Sementara itu, Loy Sian mengakui perubahan iklim bukan isu mudah untuk ditangani selain memerlukan perancangan jangka panjang sehingga hingga 30 tahun.

"Memang perlukan masa kerana ia merupakan perbincangan polisi jangka panjang. Kita kena kaji kenaikan paras laut setiap tahun dan (kajian) ini sangat penting.

"Biasanya kadar taburan hujan lebih kurang 70 hingga 90 milimeter(mm), tetapi kali ini (Disember 2021) mencecah sehingga 200mm. Keadaan ini agak aneh kerana tidak pernah berlaku pada tahun-tahun sebelum ini," katanya lagi.

Dua minggu lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan tambahan portfolio baharu perubahan iklim yang diketuai Loy Sian.

Penambahbaikan portfolio itu menjadikan jawatan disandangnya kini adalah EXCO pelancongan, alam sekitar, perubahan iklim, teknologi hijau dan hal ehwal orang asli.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619