AGENDA

Vaksin, dos penggalak bantu kurang kes masuk hospital, ICU dan kematian

8 Feb 2022, 10:43 AM
Vaksin, dos penggalak bantu kurang kes masuk hospital, ICU dan kematian

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Vaksinasi dan dos penggalak telah banyak membantu mengurangkan kes-kes kemasukan ke hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian ketika gelombang Omicron melanda negara ketika ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi laman sosial Twitter rasminya beliau berkata bagaimanapun keadaan ini berbeza ketika negara dilanda gelombang Delta sebelum ini apabila kes harian mencecah lebih 10,000, dan indikator utama Covid-19 juga tinggi.

“Ketika itu masih ramai belum menerima vaksin Covid-19. Berlainan pula apabila gelombang Omicron melanda negara ketika ini,” katanya.

Menurut infografik perbandingan indikator utama Covid-19 semasa gelombang Delta dan Omicron yang turut dimuat naik, kes harian baharu adalah sebanyak 11,079 pada 13 Julai 2021, manakala semalam 11,034 kes baharu direkodkan.

Bagi kes kemasukan ke hospital sebanyak 1,988 kes direkodkan pada 13 Julai lepas dan 1,253 kes direkodkan semalam manakala bagi bilangan kemasukan kes Covid-19 ke ICU, sebanyak 1,436 kes direkodkan pada 13 Julai 2021 manakala semalam merekodkan sebanyak 135 kes.

Kes kematian harian pada 13 Julai tahun lepas adalah sebanyak 193 manakala semalam sebanyak sembilan kes direkodkan.

Berdasarkan infografik sama, kadar vaksinasi pada 13 Julai 2021 adalah sebanyak 3,940,548 manakala kadar vaksinasi yang direkodkan bagi semalam adalah 25,723,208 dengan jumlah yang lengkap divaksin dan dos penggalak sebanyak 12,473,139.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619