AGENDA

Tengku Amir Shah kekal presiden FAS

15 Jan 2022, 9:21 AM
Tengku Amir Shah kekal presiden FAS

KLANG, 15 JAN: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif persatuan itu bagi sesi 2022-2026 hari ini.

Pengumuman keputusan pemilihan yang dilaksanakan dalam Kongres Tahunan FAS ke-69 dan ke-70 menyaksikan Tengku Amir Shah sekali lagi dipilih memimpin persatuan itu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Jawatan Timbalan Presiden FAS pula disandang oleh Datuk Seri Shahril Mokhtar manakala Naib Presiden dimenangi oleh Datuk Abdul Rauf Ahmad, Datuk P. Sugumaran, Mohd Yunus @ Iskandar Md Noor dan R. Sekar Chandaran.

Wakil badan berkecuali Majlis Pemilihan FAS Anas Shafiee memaklumkan persatuan telah menerima sebanyak 47 borang pencalonan dengan satu daripadanya ditolak susulan lewat diserahkan.

“Setelah meneliti borang pencalonan, dengan ini saya mengumumkan jumlah calon yang telah dicalonkan untuk jawatan tersebut… kesemua calon telah menang tanpa bertanding,” katanya.

Tengku Amir Shah pula bertitah FAS akan memberi penekanan kepada beberapa aspek utama antaranya menaik taraf liga-liga Selangor dari aspek pembangunan dan komersial, pembangunan pemain muda dan junior serta pembangunan jurulatih serta pengadil dan kelab.

“Beta harap kita akan terus berkembang bersama. Perubahan ini tidak boleh dibuat seorang diri. Teruskan sokongan anda dan teruskan memberi teguran serta peringatan kepada kami (FAS),” titah baginda pada penutup pembubaran kongres itu.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619