AGENDA

HARAPAN desak ketua pesuruhjaya SPRM disiasat badan bebas, isu miliki berjuta saham

7 Jan 2022, 6:04 AM
HARAPAN desak ketua pesuruhjaya SPRM disiasat badan bebas, isu miliki berjuta saham

SHAH ALAM, 7 JAN: Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) mendesak Ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki disiasat badan bebas ekoran kontroversi berkaitan pemilikan saham melibatkan akaunnya.

Tegas HARAPAN tindakan sama perlu dilakukan terhadap pengerusi lembaga penasihat suruhanjaya itu, Tan Sri Abu Zahar Ujang selain direhatkan sementara siasatan berjalan atas kemungkinan gagal menjalankan tugas mengikut undang-undang.

“Kenyataan ketua pesuruhjaya menunjukkan kemungkinan telah berlaku pelanggaran undang-undang dan percanggahan kepentingan melibatkan akaun saham beliau yang diguna untuk membeli berjuta saham bagi pihak adiknya.

“Ini melibatkan undang-undang khususnya Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 yang boleh didenda RM3 juta atau dihukum penjara 10 tahun jika didapati bersalah serta isu punca dana yang telah diguna untuk pembelian jutaan saham ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berkata, polis perlu membuka kertas siasatan untuk menyiasat sekiranya telah berlaku sebarang pelanggaran undang-undang seperti  didakwa pelbagai pihak.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim,  Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau.

Semalam laporan menyebut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan berhubung dengan ketua pesuruhjaya SPRM dan pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan mengenai pemilikan saham membabitkannya.

SC dalam kenyataan menjelaskan, di bawah seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan atau atas nama penama yang diberi kuasa.

Rabu lepas, Abu Zahar dalam sidang akhbar khasnya mengakui berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan beliau memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Menurutnya, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.

Justeru katanya, lembaga penasihat mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan dalam perkara tersebut.

Terdahulu Azam dalam sidang akhbarnya berkata, beliau tidak mempunyai kepentingan dalam saham yang diurus niaga adiknya itu.

"Saya telah menjelaskan kepada lembaga penasihat pencegahan rasuah bahawa akaun saham saya digunakan oleh adik saya untuk membuat urus niaga beliau dan saya tiada kepentingan atau mendapat faedah ke atas saham yang dibeli itu," katanya.

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619