AGENDA

Waris korban banjir mahu kongsi bantuan RM10,000 dengan anggota bomba

4 Jan 2022, 1:20 PM
Waris korban banjir mahu kongsi bantuan RM10,000 dengan anggota bomba

KUALA LANGAT, 4 JAN: Seorang waris mangsa korban banjir berhasrat memberi sebahagian bantuan RM10,000 kepada anggota bomba yang menjumpai mayat bapanya pada 22 Disember.

Hanya mahu dikenali sebagai Tan, beliau menjelaskan keputusan tersebut dipersetujui ahli keluarganya sebagai penghargaan kepada petugas hadapan dalam insiden banjir di Bukit Changgang di sini.

“Kita akan bagi sumbangan kepada anggota bomba yang jumpa ayah. Saya ada tanya polis siapa yang jumpa dan kami perlu cari kerana anggota itu difahamkan dari Melaka,” katanya kepada Selangorkini.

Mengimbau tragedi berkenaan, Tan berkata mereka sekeluarga tidak menyedari bapa mereka ke kebun bunga yang diusahakan bersama rakan.

“Kami termasuk ayah tinggal di Kuala Lumpur. Kalau tahu dia ke kebun memang (kami) tidak benarkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fadil Md Safi, 36, yang menerima bantuan RM1,000 daripada Kerajaan Negeri berhasrat membeli tilam untuk lima anaknya selepas mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Beliau turut berterima kasih atas inisiatif Selangor mengecualikan bayaran bil air selama sebulan, yang meringankan bebannya selepas perlu membersihkan rumah pascabanjir.

“Saya fikir anak sahaja sekarang ini, kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dengan mereka tidur beralaskan kotak sebelum menerima toto sumbangan orang ramai,” kata pemandu lori itu.

Hampir 700 keluarga yang terjejas banjir di Kuala Langat dan Sepang hari ini menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang diserahkan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619