BERITA UTAMA

Selangor teliti bantu peniaga kecil, petani terjejas banjir

28 Dis 2021, 11:30 AM
Selangor teliti bantu peniaga kecil, petani terjejas banjir

SEPANG, 28 DIS: Kerajaan Negeri sedang meneliti bantuan sewajarnya kepada peniaga kecil dan petani yang terjejas dengan bencana banjir di Selangor.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata ketika ini pihaknya mahu memfokuskan kepada pembersihan pascabanjir terlebih dahulu.

"Kita faham petani, usahawan perusahaan kecil dan sederhana turut terkesan dengan bencana ini tetapi kita akan melihat kepada kemampuan dan keupayaan untuk membantu mereka.

"Buat masa ini kita akan tumpu kepada pembersihan, kita akan umum dari semasa ke semasa untuk bantuan lain," katanya pada sidang media selepas membuat lawatan pascabanjir di Sepang hari ini.

Dalam lawatan itu, Amirudin turut bergotong-royong membersihkan beberapa kawasan kediaman di Kampung Cemperai Dengkil selain meninjau kerja baik pulih jambatan menghubungkan Dengkil ke Banting yang runtuh akibat banjir.

Menurut Amirudin jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh Sepang juga semakin berkurang dan hanya beberapa sahaja masih aktif.

"Untuk di sini (Sepang), majoriti mangsa tidak berpindah di PPS, lebih 9,000 keluarga hanya duduk di rumah masing-masing meskipun kejadian banjir menimpa," katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619