AGENDA

831 kawasan di empat negeri terjejas banjir pulih bekalan elektrik

28 Dis 2021, 8:43 AM
831 kawasan di empat negeri terjejas banjir pulih bekalan elektrik

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Bekalan elektrik di 831 kawasan yang terjejas banjir di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur telah dipulihkan setakat pukul 12 tengah hari ini.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) Careline menerusi hantaran di Facebook memaklumkan ia meliputi 510 kawasan di Pahang, 178 kawasan di Selangor, 118 kawasan di Kuala Lumpur dan 25 kawasan di Negeri Sembilan.

"Jika banjir sudah surut di kawasan anda tetapi masih belum menerima bekalan elektrik, hal ini disebabkan oleh pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis anda masih belum benar-benar selamat untuk diaktifkan," menurut hantaran itu.

TNB Careline turut memberitahu 14 kawasan di Selangor, 10 di Pahang dan masing-masing dua kawasan di Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur masih belum mendapat bekalan elektrik demi keselamatan pengguna setempat.

Selain itu menurutnya usaha sedang giat dijalankan oleh TNB bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

TNB Careline juga menasihati pelanggan agar meletakkan peralatan elektrik di tempat yang lebih tinggi dan selamat agar tidak ditenggelami banjir sebagai langkah berjaga-jaga.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619