AGENDA

Covid-19: 98.2 peratus kes baharu tiada gejala, gejala ringan

16 Dis 2021, 12:31 PM
Covid-19: 98.2 peratus kes baharu tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Kes baharu Covid-19 dalam negara merekodkan peningkatan dengan 4,262 kes dilaporkan hari ini berbanding 3,900 semalam menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2,707,402.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 4,262 kes itu, 4,226 adalah kes jangkitan tempatan manakala 36 lagi kes import.

“Daripada keseluruhan kes baharu itu, 78 kes atau 1.8 peratus adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima manakala 4,184 kes atau 98.2 peratus melibatkan Kategori Satu dan Dua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kategori Satu dan Dua merujuk kepada pesakit Covid-19 tidak bergejala serta bergejala ringan, manakala Kategori Tiga, Empat dan Lima pula ialah pesakit sama ada mengalami radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan.

Bagi kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata 4,985 kes dicatatkan menjadikan keseluruhan kes pulih kini 2,620,147, manakala 383 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 198 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata enam kluster baharu dikesan hari ini dan jumlah kluster masih aktif adalah 248, selain nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) di Malaysia setakat semalam adalah 0.92.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata perincian nilai RT setakat 16 Dis mengikut negeri menyaksikan Negeri Sembilan mencatatkan nilai tertinggi sebanyak 1.02, diikuti Pahang, Pulau Pinang dan Melaka masing-masing 1.00.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619