AGENDA

Kenderaan ringan lalui Plus guna transaksi RFID mulai 15 Januari

16 Dis 2021, 8:09 AM
Kenderaan ringan lalui Plus guna transaksi RFID mulai 15 Januari

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) bermula 15 Jan depan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi kenyataan memaklumkan pelaksanaan itu akan menjadikan lorong RFID tersedia di seluruh jaringan infrastruktur lebuh raya bertol di pantai barat Semenanjung selaras dengan kehendak dan keperluan pengguna lebuh raya.

“Kutipan tol menggunakan kad Touch 'n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKR, transaksi tol menggunakan RFID adalah langkah kementerian itu untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol dan pelaksanaan tersebut selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar yang termasuk Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong.

KKR sehubungan itu mengajak pengguna lebuh raya untuk beralih kepada RFID dan mendapatkan tag RFID secara dalam talian menerusi aplikasi Touch 'n Go eWallet, portal Touch 'n Go, ejen pemasaran yang dilantik atau mana-mana 39 pusat pemasangan tag RFID di seluruh Semenanjung.

Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya untuk menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh sekali gus membantu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai, menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619