BERITA UTAMA

Kelas jahitan lampin guna semula bantu wanita jana pendapatan

15 Dis 2021, 1:51 PM
Kelas jahitan lampin guna semula bantu wanita jana pendapatan

PUCHONG, 15 DIS: Wanita Berdaya Selangor (WBS) giat menganjurkan kelas jahitan lampin guna semula bagi membantu kaum hawa menjana pendapatan.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata inisiatif itu juga bagi membantu individu kurang berkemampuan untuk membeli lampin pakai buang.

"Inisiatif ini dilaksana bukan kerana Kerajaan Negeri kedekut duit tetapi kita memikirkan kesan jangka masa panjang iaitu untuk memastikan kelestarian alam sekitar.

"Sekiranya ada mana-mana wanita yang berminat untuk sertai kelas ini boleh memohon menerusi penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) di pusat khidmat masyarakat berhampiran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program pemberian bantuan susu dan lampin pakai buang kepada penerima kurang berkemampuan (B40) di Dewan Serbaguna MPSJ Kampung Seri Aman di sini hari ini.

Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif WBS Siti Kamariah Ahmad Subki berkata inisiatif itu bukan bertujuan memonopoli mana-mana pihak sebaliknya mahu lebih ramai wanita mempunyai pendapatan sendiri.

"Mereka boleh jahit dan jual pula kepada jiran atau komuniti sekitar...sekiranya peserta ini tiada mesin jahit kita juga menyediakan pusat jahitan di PWB terpilih dan boleh menjahit di sana," katanya.

Menurutnya, inisiatif itu dijalankan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), Athena Empowers yang menawarkan kemahiran menjahit lampin kanak-kanak dan dewasa serta tuala wanita.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619