AGENDA

PRN Melaka: Pusat mengundi ditutup, kiraan bermula

20 Nov 2021, 9:48 AM
PRN Melaka: Pusat mengundi ditutup, kiraan bermula

MELAKA, 20 NOV: Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bermula 8 pagi tadi tamat selepas 217 pusat pengundian ditutup pada 5.30 petang ini.

Mengikut senarai daftar pemilih, pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi dan dikendalikan oleh seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 1,109 saluran itu dibawa ke 28 pusat penjumlahan undi di sini dan keputusan rasmi akan diumumkan malam ini oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh.

Pada 16 November lepas, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing membabitkan 31 pusat pengundian awal dengan 47 saluran manakala seramai 7,601 orang layak mengundi secara pos.

Secara keseluruhan, jumlah pusat mengundi bagi PRN Melaka ialah 248 dengan 1,156 saluran.

Seramai 112 calon bertanding dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (HARAPAN) bertanding di semua 28 kerusi manakala Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di lima kerusi, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22).

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619