AGENDA

PRN Melaka: Sembilan kompaun bernilai RM120,000 dikeluar sepanjang tempoh kempen

22 Nov 2021, 5:09 AM
PRN Melaka: Sembilan kompaun bernilai RM120,000 dikeluar sepanjang tempoh kempen

MELAKA, 22 NOV: Polis Melaka mengeluarkan sembilan kompaun bernilai RM120,000 kepada pelbagai parti politik kerana melakukan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula 8 hingga 19 November lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata sebanyak 37 kertas siasatan telah dibuka sepanjang tempoh berkenaan kerana melakukan pelbagai kesalahan melibatkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 19 kertas siasatan dibuka di bawah Akta 342 kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) mengekang penularan Covid-19 seperti berhimpun dan sebagainya manakala 18 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Secara keseluruhan, sepanjang tempoh kempen, hari mengundi dan pengumuman kemenangan parti politik, tiada sebarang insiden yang menggugat ketenteraman awam berlaku," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata penguatkuasaan undang-undang dan SOP yang dilaksanakan sepanjang PRN Melaka menjamin kesihatan awam dan menyuburkan demokrasi menerusi pelaksanaan pilihan raya.

Katanya, PRN Melaka dilihat mencapai matlamat ditetapkan kerajaan iaitu mengawal kesihatan awam menerusi SOP ketat dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan penguat kuasa terlibat.

Abdul Majid berkata Polis Melaka juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Melaka yang turut memberi kerjasama dengan mematuhi SOP PRN ditetapkan.

"Rakyat Melaka hebat kerana tidak terbawa-bawa sentimen politik sebaliknya mereka lebih mementingkan kesihatan awam dan keselamatan," katanya.

Pada PRN Melaka Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga.

Pakatan Harapan (HARAPAN) pula memenangi lima kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi DUN.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619