AGENDA

MB pelawa individu 18 tahun ke atas sertai Selangor Freelance

8 Nov 2021, 12:00 PM
MB pelawa individu 18 tahun ke atas sertai Selangor Freelance
MB pelawa individu 18 tahun ke atas sertai Selangor Freelance

SHAH ALAM, 8 NOV: Dato' Menteri Besar mempelawa individu berusia 18 tahun ke atas di negeri ini menyertai program Selangor Freelance bagi menjana pendapatan dalam sektor ekonomi digital.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata program kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad dengan platform Workana menawarkan 5,000 peluang latihan untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran pekerjaan.

"Dalam era pandemik Covid-19, ekonomi gig (sampingan) muncul sebagai peluang baru pekerjaan yang terbina dari pasaran membangun dalam segmen digital.

"Maka, inisiatif dimulakan Kerajaan Negeri ini mampu memberi manfaat kepada warga Selangor serta berpeluang menjana pendapatan menerusi program pengupayaan yang holistik," tulisnya di Twitter hari ini.

Dilancarkan pada 28 Oktober lalu, peserta Selangor Freelance akan dilatih untuk memanfaatkan kerja sebagai pekerja bebas serta cara menggunakan platform Workana selama dua hari.

Mereka juga akan menerima RM400 daripada Kerajaan Negeri sebaik tamat mengikuti latihan tersebut selain berpeluang memohon pekerjaan bebas digital menerusi platform berkenaan.

Individu yang sudah bekerja atau belum boleh membuat permohonan melalui http://selangor.workana.com.

Pada 20 Januari, Amirudin berkata inisiatif Selangor Freelance bakal mencipta lebih 1,000 peluang pekerjaan dan membantu golongan terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Beliau memaklumkan pelaksanaan inisiatif berkenaan disegerakan bagi menyerap hentakan ekonomi dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Selangor Freelance disenaraikan bawah program pendigitalan dalam Belanjawan Negeri 2021 dengan perbelanjaan RM369 juta melalui dana negeri dan anak syarikat (GLC).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619