AGENDA

Kes sembuh Covid-19 hampir dua kali ganda jangkitan baharu

5 Okt 2021, 12:19 PM
Kes sembuh Covid-19 hampir dua kali ganda jangkitan baharu

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Kes sembuh Covid-19 hari ini merekodkan sebanyak 15,615 kes, hampir dua kali ganda daripada 8,817 kes baharu yang dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan itu pula, 8,635 kes (97.9 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua, manakala baki 2.1 peratus atau 182 kes merupakan kategori tiga, empat dan lima.

Kategori satu dan dua adalah mereka yang tidak bergejala dan bergejala ringan, sementara kategori tiga merujuk pada mereka yang menghidap radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima pula memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 14 daripada jumlah kes baharu itu adalah kes import melibatkan 11 warganegara dan tiga rakyat asing, manakala 8,803 kes melibatkan penularan dalam negara iaitu 8,109 warganegara dan 694 rakyat asing.

“Terdapat 851 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 815 kes positif Covid-19 dan 36 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan dengan 395 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan perkembangan situasi Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham juga berkata sebanyak 14 kluster baharu dikesan dengan 10 daripadanya berkaitan tempat kerja, dua kluster membabitkan penularan dalam komuniti serta masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan institusi pendidikan swasta, menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 956.

Beliau memaklumkan Malaysia juga semalam mencatatkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) pada 0.87 dengan Putrajaya mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.04.

Data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman GitHub dan laman sesawang  http://COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619