AGENDA

Unisel dicadang jadi pusat vaksin, mudahkan proses suntik 6,000 penuntut

19 Sep 2021, 4:44 AM
Unisel dicadang jadi pusat vaksin, mudahkan proses suntik 6,000 penuntut

BESTARI JAYA, 19 SEPT: Kerajaan Negeri dicadang menjadikan Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) khusus untuk penuntut yang belum menerima pelalian Covid-19.

Presiden dan Naib Canselornya Prof Dato' Dr Mohammad Redzuan Othman berkata cadangan tersebut bagi memudahkan pelajar yang bakal kembali ke institusi pengajian tinggi (IPT) mulai pertengahan Oktober ini.

"Permohonan dibuat kepada Kerajaan Negeri kerana Selvax (Vaksin Selangor) mempunyai peruntukan bagi tujuan ini, saya percaya proses lebih mudah kerana terdapat lebih kurang 6,000 pelajar di kampus ini.

"Sekiranya pelajar digerakkan ke PPV luar mungkin agak rumit. Jadi, kita mencadangkan dibuat di sini," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis perasmian pertandingan memancing tangkap dan lepas ikan toman dan tasik The Tomanz di sini semalam.

Sementara itu, Dr Mohammad Redzuan berkata pihaknya akan memastikan mahasiswa dan kakitangan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sebaik sesi pengajian bersemuka secara berperingkat bermula.

"Kita tahu pelajar sudah jemu belajar dalam talian kerana terlampau lama dan mahu kembali ke kampus, apatah lagi Unisel memiliki asrama serta fasiliti lengkap.

"Namun, kita tetap pastikan keselamatan pelajar terjamin dan ini (SOP) diberi perhatian cukup terperinci bagi membolehkan proses pembelajaran berjalan lancar," katanya.

Pada 14 September, menteri pengajian tinggi memaklumkan lebih 1.2 juta pelajar IPT di seluruh negara dibenarkan kembali ke kampus masing-masing secara berperingkat mulai 15 Oktober.

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kemasukan pelajar lengkap divaksin membabitkan semua kategori dan semua fasa pelan pemulihan negara (PPN) dengan keutamaan diberi kepada mereka berkeperluan.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619