AGENDA

Covid-19: Kes sembuh 22,970, sekali lagi atasi jangkitan baharu

17 Sep 2021, 12:22 PM
Covid-19: Kes sembuh 22,970, sekali lagi atasi jangkitan baharu

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Jumlah harian pesakit yang pulih daripada Covid-19 di Malaysia sekali lagi mengatasi jangkitan baharu apabila 22,970 kes pulih dilaporkan hari ini berbanding 17,577 kes baharu yang direkodkan, setakat 12 tengah hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada wabak tersebut kini seramai 1,823,248 orang.

Beliau berkata terdapat 1,223 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 891 kes disahkan Covid-19 manakala 332 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

“Sebanyak 720 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 410 kes disahkan Covid-19 sementara 310 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 244 kes atau 1.4 peratus adalah kategori tiga (radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan) manakala baki 17,333 kes atau 98.6 peratus dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu juga, tiga adalah kes import melibatkan warganegara manakala 17,574 kes penularan dalam negara membabitkan 15,438 warganegara.

Katanya sebanyak 19 kluster turut dikesan dalam tempoh 24 jam iaitu 11 kluster di tempat kerja, enam kluster komuniti dan dua kluster kumpulan berisiko tinggi.

Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 0.98 dengan semua negeri mencatat sekurang-kurangnya 1.0 kecuali Sabah, Kedah, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.

Sarawak mencatatkan nilai Rt paling tinggi iaitu 1.11 diikuti Perak dan Terengganu (1.04), Perlis 1.03, Pahang 1.02 manakala Johor serta Pulau Pinang masing-masing 1.01 dan Kelantan 1.00.

Data kematian pula akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman Github dan laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my tengah malam ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619