AGENDA

Wakil rakyat: Urusan jenazah percuma tetapi waris diperdaya bayar RM700

4 Ogos 2021, 1:02 PM
Wakil rakyat: Urusan jenazah percuma tetapi waris diperdaya bayar RM700

SHAH ALAM, 4 OGOS: Meskipun pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Selangor percuma, namun ada pihak dikesan mengenakan caj RM700 kepada waris hanya untuk tayamum dan solat.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang berkata kegiatan itu berlaku ketika waris dalam kesedihan kerana tidak dapat melihat, menyentuh mahupun menguruskan sendiri jenazah ahli keluarga mereka.

"Semasa inilah kartel jenazah akan mengambil kesempatan menyantuni waris di hospital kerana dalam fikiran waris sedang bersedih dan hanya mahu memastikan jenazah yang disayangi dikebumikan segera.

"Mohon Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) siasat," kata Azmizam Zaman Huri di Facebooknya hari ini.

Beliau turut memperincikan kos sebenar pengurusan mayat pesakit Covid-19 iaitu RM15 bagi sebotol debu tayamum manakala sut perlindungan diri dan beg mayat diberi percuma oleh hospital.

Selain itu, katanya, solat jenazah perlu dibuat secara ikhlas selain proses nyahkuman dilakukan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada 2 Ogos, Jais mengumumkan tiada bayaran dikenakan kepada keluarga atau waris bagi setiap pengurusan jenazah pesakit Covid-19 oleh jabatan itu.

Pengarahnya Dato' Mohd Shahzihan Ahmad berkata bayaran hanya dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan termasuk kos membuat keranda jika perlu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619