BERITA UTAMA

Masyarakat India diseru sertai program usahawan dalam talian

12 Jul 2021, 1:14 PM
Masyarakat India diseru sertai program usahawan dalam talian

SHAH ALAM, 12 JULAI: Permohonan program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) dibuka mulai hari ini hingga 12 Ogos, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata mereka yang berminat boleh memohon secara dalam talian menerusi laman sesawang Hijrah Selangor yang mana kaedah pendaftaran juga dipapar di laman tersebut.

"Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta untuk program Sitham pada tahun ini dan kita menyasarkan sekurang-kurangnya 500 peserta mula mendaftar dalam tempoh itu.

"Kita harap ramai yang memohon inisiatif ini kerana kita mahu meningkatkan taraf hidup masyarakat India terutama dalam keusahawanan sekali gus berjaya dalam bidang masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program Pelancaran Permohonan Program Sitham 2021 yang bersiaran secara langsung menerusi Google Meet hari ini.

Terdapat empat program keusahawanan yang ditawarkan iaitu Latihan Pembangunan Usahawan, Kursus Kemahiran dan Pembuatan, Program Bimbingan Perniagaan (Grow) dan Program Bantuan Peralatan Perniagaan (Geran).

Bagaimanapun, Rodziah menjelaskan program berhubung latihan dan kemahiran terpaksa dikurangkan susulan pandemik Covid-19.

"Namun, kita akan lebih fokus kepada program Grow dan Geran. Yang lain Insya-Allah apabila selesai pandemik kita akan meneruskan bersemuka seperti biasa," katanya.

Sitham dilancarkan pada September 2019 memfokuskan usahawan India yang komited memajukan perniagaan mereka dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Sehingga kini seramai 1,000 peserta menyertai Sitham sejak mula dilancarkan dua tahun lalu. Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman sesawang Hijrah Selangor atau hubungi talian hotline 016-951 2458.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619