AGENDA

HKL: Katil penuh, pesakit terpaksa diberi CPR di lantai

3 Jul 2021, 11:58 PM
HKL: Katil penuh, pesakit terpaksa diberi CPR di lantai

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Hospital Kuala Lumpur (HKL) tampil memberi penjelasan berhubung isu tular di media sosial, berkenaan seorang pesakit yang dirawat di atas lantai di Jabatan Kecemasan dan Trauma, baru-baru ini.

Pengarahnya Datuk Dr Heric Corray berkata, pesakit itu dibawa ke unit berkenaan sebelum secara tiba-tiba berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, dan tiada denyutan serta tidak bernafas.

“Bagaimanapun ketika itu, semua katil telah digunakan dan hanya lantai yang mempunyai permukaan rata yang terbaik, maka CPR (Cardio-Respiratory Resuscitation) dilakukan serta merta. Bagaimanapun pesakit tidak dapat diselamatkan.

“Oleh kerana sebab kematian tidak dapat dikenal pasti, jenazah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat (post mortem) dan kini menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Kelmarin, media melaporkan seorang doktor yang dipercayai berkhidmat di Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL mendedahkan, bahawa mereka sebenarnya sudah tidak mampu untuk menampung pesakit baharu di hospital itu.

Dr Heric tidak menafikan bahawa penggunaan katil di HKL pada masa ini adalah meningkat, berikutan terdapat pertambahan penerimaan kes Covid-19 dengan kebanyakan kes adalah tahap empat, namun perancangan terhadap pengurusan katil sentiasa diteliti, dengan penggunaannya hanyalah mengikut keperluan semasa.

Menurutnya pada masa yang sama HKL juga telah menangguhkan kes-kes pembedahan elektif sejak Disember tahun lepas, bagi memberi keutamaan kepada kes-kes kecemasan yang lebih memerlukan penggunaan katil.

Menyentuh laporan tentang kekangan kapasiti katil serta petugas di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, jelasnya penggunaan katil di unit itu pada masa ini adalah berada di tahap sangat tinggi, namun alat perubatan seperti oksigen, katil dan lain-lain sentiasa berada di dalam perancangan.

“Selain itu, tenaga kerja di ICU turut dibantu oleh petugas yang juga merupakan kakitangan yang bertugas di wad-wad biasa, serta klinik di HKL,” katanya.

Sementara itu berhubung isu bekalan oksigen di wad pula, beliau berkata ketika ini bekalan oksigen sama ada jenis piping atau silinder masih di tahap yang mencukupi.

Katanya HKL sentiasa menyusuli syarikat pembekal, bagi memastikan proses bekalan sentiasa di tahap optima bagi keperluan oksigen di wad-wad HKL.

“Sekiranya terdapat keperluan bekalan oksigen yang tinggi pada satu-satu masa, bekalan tersebut akan diambil daripada wad yang kurang penggunaannya, dan digunakan di wad yang lebih memerlukan,” katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619