AGENDA

Dua penghantar makanan ditahan terlibat kes pukul pemandu lori

22 Jun 2021, 6:29 AM
Dua penghantar makanan ditahan terlibat kes pukul pemandu lori

SHAH ALAM, 22 JUN: Dua lelaki tempatan yang merupakan penghantar makanan ditahan polis semalam kerana dipercayai terlibat dalam kejadian sekumpulan penghantar makanan memukul seorang pemandu lori di Jalan Persiaran Setia Perdana, Setia Alam petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam (IPD) ACP Baharudin Mat Taib berkata kedua-dua lelaki berumur 20 dan 25 tahun itu ditahan di sekitar Shah Alam selepas kejadian tersebut berlaku pada 5.30 petang semalam.

Baharudin berkata kejadian tersebut berlaku susulan kemalangan jalan raya melibatkan seorang penunggang motosikal penghantar makanan dengan sebuah lori, lalu menyebabkan pergaduhan oleh sekumpulan lelaki dari sebuah syarikat penghantar makanan.

"Setakat ini, dua tangkapan telah dibuat ke atas lelaki penghantar makanan yang dipercayai terlibat dalam kes itu. Usaha untuk mengesan suspek lain yang terlibat sedang giat dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu lori yang dipercayai warga tempatan itu juga akan hadir ke balai polis hari ini untuk membuat laporan berhubung insiden tersebut.

Baharudin berkata cawangan trafik IPD Shah Alam juga membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera bagi mendapatkan keputusan," katanya.

Beliau turut menasihati masyarakat untuk tidak mengambil sebarang tindakan melulu dalam apa jua situasi yang boleh menyebabkan pelanggaran undang-undang.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi 14 saat menyaksikan seorang lelaki tempatan dipukul sekumpulan lelaki penghantar makanan di media sosial.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619