AGENSI

Menangis bawa tiga cucu ke saringan percuma, 'swasta terlampau mahal' (VIDEO)

20 Jun 2021, 8:26 AM
Menangis bawa tiga cucu ke saringan percuma, 'swasta terlampau mahal' (VIDEO)

PETALING JAYA, 20 JUN: Seorang nenek membawa tiga cucu termasuk bayi berusia enam bulan ke saringan percuma berikutan tidak mampu membayar ujian Covid-19 di klinik swasta yang "terlampau mahal".

Shahrull Samsi, 67, bimbang tiga cucunya dijangkiti virus selepas ibu bapa mereka ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisko Rendah (PKRC) Serdang sejak Khamis lalu.

Beliau membawa Muhammad Aisy Ariq Anaqi Fadil Fikri berusia enam bulan; Muhammad Firash Farhan (tiga tahun) dan Muhammad Ziyad Zafran (enam tahun) ke klinik swasta sebelum membatalkan hasrat itu.

"Bila tahu mak dan ayahnya positif, mak cik hendak bawa cucu dengan dua lagi abangnya buat ujian di klinik swasta tapi mahal, terpaksa batalkan.

"Saya bersyukur Kerajaan Negeri bantu. (Klinik) swasta terlampau mahal, RM280. Dah pergi dah, saya tak mampu... banyak (mahal) kan.

"Terima kasih kerana bantu ringankan beban ketika pandemik," katanya sambil menangis ketika ditemui dalam Saringan Komuniti fasa tiga di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan di sini hari ini.

https://www.youtube.com/watch?v=aIKdOiFKdMY

Selain itu, dua bayi berusia dua bulan antara peserta saringan pertama fasa tiga yang dianjurkan di dewa sama.

Nor Athira Mohd Ihar, 30, memilih waktu tidur Khaira Amira Khairul Naim berusia dua bulan untuk ujian calitan bagi memastikan anaknya tidak menangis.

“Saya sedih bila dimaklumkan suami Khairul Naim Kasrun positif. Disebabkan itu saya dan anak yang baru habis pantang perlu disaring.

“Sejak suami disahkan positif saya hanya fikirkan keadaan anak ketika disaring. Saya risau dia sakit. Alhamdulillah dia tidak menangis dan tidur sahaja ketika proses saringan ini,” katanya.

Tuti Hasti Amir Shah, 35, pula memandu hampir 30 kilometer dari Klang ke Petaling Jaya bagi mengetahui status kesihatan diri dan tiga anak berusia dua bulan hingga lapan tahun selepas suami disahkan positif.

“Suami kini dikuarantin di PKRC, Serdang. Dia yang daftarkan nama kami untuk saringan hari ini.

“Saya harap anak-anak tidak dijangkiti Covid-19. Walaupun terpaksa memandu jauh dengan membawa tiga anak, saya sanggup asalkan tahu status kesihatan “ katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619