PBT

Datuk Bandar Shah Alam fokus enam teras beri khidmat terbaik

15 Jun 2021, 7:42 AM
Datuk Bandar Shah Alam fokus enam teras beri khidmat terbaik

SHAH ALAM, 15 JUN: Datuk Bandar Shah Alam yang baharu memfokus enam teras bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberi kepada penduduk dibawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Enam teras itu adalah pemantapan perkhidmatan perbandaran, pengukuhan kewangan dengan meningkatkan kutipan dan mengukuhkan pembangunan infrastruktur, mendekati pemegang taruh serta masyarakat dengan norma baharu, pembudayaan teknologi maklumat dan memperkasa sumber manusia.

Dato' Zamani Ahmad Mansor berkata menerusi teras pertama beliau mahu MBSA memantau pengurusan sisa pepejal oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) di lapangan kerana menjadi sensitiviti masyarakat sekiranya kerja berkenaan tidak dilaksana dengan baik.

"Kerja penyelenggaraan jalan, lampu jalan, pemotongan rumput, pengindahan landskap, pembersihan longkang, parit erong, sapuan kawasan serta kutipan sampah pukal di kawasan pentadbiran MBSA perlu dibuat secara konsisten," katanya selepas mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam kesembilan di sini, hari ini.

Menurut Zamani Ahmad, beliau juga mahu memastikan setiap projek dirancang rapi bagi memberi kesan baik selain memenuhi aspirasi Kerajaan Negeri mengukuhkan pembangunan infrastruktur di bandaraya itu.

"Harus disusuli kajian dan cadangan menyeluruh bagi mengekalkan kelestarian warga, sektor ekonomi tempatan, pemangkin segmen pelancongan domestik, penjagaan alam sekitar dan kesejahteraan bandar khususnya," katanya.

Beliau berkata, MBSA juga akan menambah perkhidmatan dalam talian termasuk penggunaan kecerdasan buatan (artificial intelligence) seiring matlamat Selangor menjadi negeri pintar menjelang 2025 serta amalan norma baharu susulan pandemik Covid-19.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619