PBT

Shah Alam ke arah bandar raya pintar, berdaya huni

5 Dis 2022, 3:23 PM
Shah Alam ke arah bandar raya pintar, berdaya huni

SHAH ALAM, 5 DIS: Datuk Bandar Shah Alam baharu dilantik tekad menjadikan Shah Alam sebuah bandar raya pintar, berdaya huni dan makmur selari teras digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Dr Nor Fuad Abdul Halim berkata rancangan pembangunan lima tahun yang diluluskan Dewan Negeri Selangor Julai lalu menyasarkan hasrat sama menjelang 2025.

“Teras bandar raya pintar adalah dengan mengomptimumkan penggunaan teknologi digital dalam perkhidmatan perbandaran bagi memperkasa kehidupan penduduk, pemegang taruh, pemaju dan pemain industri.

“Kita melaksanakan pelbagai pendigitalan perkhidmatan antaranya bayaran parkir kereta menggunakan aplikasi Setel, i-Aset, bayaran tanpa tunai dan integrasi sistem pemantauan pintar Shah Alam,” katanya.

Beliau berucap selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke-10 di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA di sini hari ini.

Sementara itu, Nor Fuad berkata pihaknya akan memantapkan perkhidmatan sedia ada selain mempelbagai inovasi yang memberi kemudahan dan menjamin keselamatan penduduk bagi memastikan Shah Alam bandar berdaya huni.

“Maka MBSA perlu memenuhi sasaran indeks daya huni Malaysia (i-Dam) sebagaimana dianjurkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Antara kriteria utama adalah kualiti persekitaran mampan dan selamat selain infrastruktur asas berkualiti,” katanya.

Beliau menambah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu giat melaksanakan pembangunan mampan di seluruh jabatan bagi mencapai hasrat bandar makmur.

Menurutnya, aspek itu juga akan diperluas ke peringkat agensi kerajaan, syarikat swasta, institusi pengajian tinggi dan sekolah.

“Matlamat ini perlu dipraktikkan dalam program kemasyarakatan dan projek pembangunan infrastruktur serta penyediaan kemudahan awam,” katanya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619