BERITA UTAMA

Pusat vaksin mega di Seri Kembangan mula operasi Isnin ini

12 Jun 2021, 1:10 AM
Pusat vaksin mega di Seri Kembangan mula operasi Isnin ini

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Satu lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega (berkapasiti besar) di Lembah Klang iaitu Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) di Seri Kembangan akan mula beroperasi Isnin ini.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan semalam memaklumkan penjadualan jumlah janji temu hari pertama untuk MIECC dihadkan kepada 4,900 daripada kapasiti penuh iaitu 8,000 bagi memastikan kelancaran program dengan pematuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP).

“Jumlah ini akan ditambah secara berperingkat dalam masa terdekat. Janji temu di PPV MIECC yang bermula dari 9 pagi hingga 8 malam sedang dikeluarkan ketika ini dan orang ramai diminta untuk menyemak aplikasi MySejahtera mereka bagi mendapatkan butiran janji temu vaksinasi Covid-19 masing-masing,” menurut kenyataan itu.

CITF memaklumkan individu yang diberikan janji temu dinasihat sebaik-baiknya hadir tidak terlalu awal dan tiba di MIECC 30 minit sebelum waktu janji temu bagi mengelakkan kesesakan.

Kenyataan itu menyebut pembukaan PPV di MIECC adalah sejajar dengan komitmen kerajaan dalam memastikan kadar vaksinasi terus konsisten bagi mempercepatkan program vaksinasi negara.

“Setakat ini, kadar vaksinasi negara mencecah paras 150,000 dos sehari dan kerajaan menyasar untuk mempertingkat usaha vaksinasi bagi mencapai jumlah suntikan 200,000 dos sehari dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, PPV MIECC akan diurus oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) iaitu syarikat tidak berasaskan keuntungan milik Kementerian Kesihatan Malaysia.

PPV MIECC adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkasa kadar vaksinasi dengan pembukaan enam PPV mega seperti Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Arena Axiata, Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) dan UiTM Puncak Alam.

Maklumat atau sebarang pengumuman terkini boleh diakses menerusi laman media sosial Facebook, Twitter dan Instagram @JKJAVMY.

Sebarang pertanyaan mengenai janji temu boleh diajukan ke platform MySejahtera Helpdesk di pautan mysejahtera.malaysia.gov.my/help atau laman sesawang (untuk semakan janji temu) www.vaksincovid.gov.my/semak-status atau Pusat Panggilan PICK di talian 1800-888-828.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619