AGENDA

PKP: Polis lulus 12,000 permohonan rentas daerah, negeri sehari

5 Jun 2021, 11:31 AM
PKP: Polis lulus 12,000 permohonan rentas daerah, negeri sehari

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meluluskan 12,000 permohonan rentas daerah dan negeri setiap hari sejak penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan 1 Jun lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata permohonan rentas daerah dan negeri yang diluluskan itu adalah bagi permohonan melibatkan kematian, kecemasan dan pemohon yang bekerja sendiri.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata PDRM juga menutup 118 jalan kecil yang sebelum ini digunakan orang awam sebagai jalan alternatif untuk merentas daerah dan negeri di seluruh negara.

“Tinjauan di lebuh raya utama di seluruh negara juga mendapati kadar aliran kenderaan menurun kepada sekitar 500,000 kenderaan sehari berbanding 1.3 juta kenderaan sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dikuatkuasakan,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan kira-kira 85,000 pemeriksaan harian dilaksanakan PDRM dan agensi berkaitan sejak 1 Jun selaras pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Beliau berkata hampir 35,000 premis diperiksa termasuk pasar raya, restoran, kilang dan tempat-tempat yang dibenar beroperasi di seluruh negara.

Hamzah berkata sebanyak 3,514 kompaun dikeluarkan termasuk 117 dikenakan terhadap perbadanan atau syarikat dan 163 tangkapan dilakukan atas kesalahan pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh 1 Jun sehingga 4 Jun.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619