AGENDA

Polis tumpas sindiket edar dadah guna khidmat kurier

5 Jun 2021, 5:39 AM
Polis tumpas sindiket edar dadah guna khidmat kurier
Polis tumpas sindiket edar dadah guna khidmat kurier

PETALING JAYA, 5 JUN: Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah melalui perkhidmatan kurier dalam beberapa serbuan di sini, Cheras dan Kuala Lumpur pada Rabu dan Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata serbuan dan penahanan tiga lelaki terbabit berikutan laporan daripada seorang pekerja syarikat kurier berhubung empat kotak bungkusan yang mencurigakan.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin seberat 1,211.35 gram (g); syabu (0.42 g); dan ekstasi (0.56 g) yang dianggar bernilai RM42,455.

Polis turut merampas dua kereta iaitu Mazda dan Nissan GTR, wang tunai RM162,500, pelbagai mata wang asing dan tujuh utas jam tangan yang keseluruhannya bernilai RM1.14 juta, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

"Hasil siasatan awal mendapati mereka mengambil upah untuk mengedar dadah menggunakan perkhidmatan kurier dengan menyembunyikannya di dalam alat permainan kepada pelanggan dari luar negara,” katanya sambil memberitahu kumpulan itu aktif sejak sebulan lepas dan menerima upah RM1,000 bagi setiap bungkusan yang dihantar.

Mohamad Fakhrudin berkata seorang daripada lelaki yang ditahan itu positif dadah dan kesemua mereka kini direman. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohamad Fakhrudin berkata polis menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan di sekitar Petaling Jaya apabila menahan lima lelaki berumur 22 hingga 36 tahun pada Khamis lepas.

Beliau berkata dua lelaki ditahan dalam serbuan di Desa Mentari pada 12 tengah hari ketika mereka sedang meleraikan komponen kereta yang dipercayai dicuri manakala tiga lagi termasuk dua warga asing ditahan di sebuah premis barangan lusuh di kawasan yang sama.

"Polis menemukan pelbagai jenis rangka kereta, tujuh enjin kereta dan alat meleraikan komponen kereta. Kami percaya berjaya menyelesaikaan empat kes curi kereta yang dilaporkan di sini dan beberapa kawasan di sekitar Selangor," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619