AGENDA

Plaza tol Jalan Duta sesak bukan sebab balik kampung - polis

2 Jun 2021, 7:51 AM
Plaza tol Jalan Duta sesak bukan sebab balik kampung - polis

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Polis menafikan kesesakan jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta pada 31 Mei lalu, berpunca daripada orang ramai yang dalam perjalanan pulang ke kampung seperti tular di media sosial, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata, semakan kandungan video berkenaan mendapati, kesesakan sepanjang tiga kilometer sebelum plaza tol itu berlaku antara 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, pada tarikh berkenaan.

“Punca utama kesesakan adalah kerana pemeriksaan rapi oleh pihak polis, bagi memastikan orang awam mengikuti tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan, dan hasil pemeriksaan secara menyeluruh mendapati kenderaan-kenderaan itu mempunyai surat kebenaran merentas negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkefly berkata, kesesakan itu juga disebabkan orang ramai keluar membuat pelbagai urusan penting, sebelum bermulanya sekatan pergerakan penuh.

Beliau berkata pada tarikh dan masa berkenaan, pihaknya telah memeriksa kira-kira 4,536 kenderaan yang melalui plaza tol itu.

“JSPT KL akan terus membuat pemeriksaan secara terperinci, bagi memastikan tiada pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, aliran trafik di plaza tol berkenaan pada semalam mencatatkan penurunan sebanyak 66 peratus.

“Pemantaun berterusan oleh JSPT mendapati tiada sebarang kesesakan dikesan di semua sektor lebuh raya dan sekatan jalan raya selepas fasa PKP 3.0 dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menggesa orang ramai untuk menghentikan sebarang penyebaran mesej tidak benar dan sentiasa memastikan kesahihan sesuatu fakta sebelum dimuat naik atau dikongsi dalam laman sosial dan sebagainya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619