AGENDA

MKN benarkan, saringan percuma Selangor diterus esok hingga 10 Jun

31 Mei 2021, 11:48 AM
MKN benarkan, saringan percuma Selangor diterus esok hingga 10 Jun

SHAH ALAM, 31 MEI: Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri akan diteruskan mengikut jadual sehingga 10 Jun ini, kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata pemeriksaan percuma itu dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula esok.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pihaknya perlu menyediakan laporan kepada polis selain meningkatkan kawalan dan mempercepat proses ujian di lokasi saringan.

"Tadi kita bincang (keputusan teruskan saringan) dan aktiviti ini dibenarkan dan tidak dihalang daripada arahan MKN.

"Kita cuba tingkatkan kawalan supaya tidak berlaku perhimpunan orang ramai pada satu-satu masa kerana ini antara usaha untuk elak rebakan Covid-19 di tempat baru," katanya.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin Palestin daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Jumaat lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula esok hingga 14 Jun depan.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor giat menjalankan program saringan percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 8 Mei hingga 10 Jun.

Program yang memanfaatkan penduduk yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri selesai dijalankan di 36 DUN setakat ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619