AGENDA

Covid-19: Atlet negara sambut Syawal dalam kem latihan

9 Mei 2021, 3:30 PM
Covid-19: Atlet negara sambut Syawal dalam kem latihan

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Atlet negara yang dalam persiapan untuk bertanding dalam Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan SEA Hanoi akan menyambut Aidilfitri tahun ini di dalam kem latihan dan tidak dibenarkan keluar, kata Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin.

“Perancangan kita memang akan ada sambutan secara sederhana di dalam kem melibatkan atlet dan jurulatih yang tinggal dalam kem. Tetapi bergantung kepada situasi Covid-19 nanti,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Atlet kembali menyertai latihan secara kuarantin di kemudahan MSN di Bukit Jalil dan beberapa lagi tempat termasuk Akademi Badminton Malaysia (ABM) sejak beberapa hari lepas setelah kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jefri berkata MSN memilih melaksanakan pendekatan latihan dalam kuarantin selepas mengambil kira PKP dan lonjakan kes harian Covid-19 baru-baru ini di dalam negara yang merupakan risiko kepada keselamatan dan kesihatan atlet.

“Sudah semestinya pihak MSN bimbang akan ketidaktentuan latihan dan pertandingan semasa Covid-19 kerana ini akan menjejaskan prestasi atlet. Sebab itu kem latihan secara kuarantin ini terpaksa dilakukan. Diharap dengan cara ini latihan dapat diteruskan sebagai persiapan menghadapi temasya sukan,” katanya.

Jefri berkata semua atlet dan jurulatih yang berada di bawah program MSN diberi nasihat untuk sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata pihak MSN juga melaksanakan saringan ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen melibatkan semua atlet dan jurulatih pada tiga minggu lepas dan akan melaksanakan ujian yang sama minggu depan.

Media melaporkan 11 atlet dan jurulatih sepak takraw disahkan positif jangkitan Covid-19 selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia.

Sebelum itu 15 pemain dijangkiti virus ini di ABM sejak 17 April sementara seorang atlet remaja dan jurulatihnya didapati positif dalam kem latihan boling baru-baru ini.

Sementara itu, Jefri berkata skuad Muay Thai dijangka berlepas ke Thailand minggu depan untuk latihan dan pertandingan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619