AGENDA

Covid-19: 83 kluster sektor pendidikan dikesan, 49 masih aktif

21 Apr 2021, 9:00 AM
Covid-19: 83 kluster sektor pendidikan dikesan, 49 masih aktif

PUTRAJAYA, 21 APRIL: Sebanyak 83 kluster Covid-19 berkaitan sektor pendidikan dilaporkan dari 1 Jan lepas sehingga semalam, melibatkan 4,868 kes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menunjukkan sebanyak 49 kluster atau 59.04 peratus dengan 2,617 kes masih aktif, manakala 34 kluster (40.96 peratus) dengan 2,251 kes telah diisytiharkan tamat.

Daripada jumlah kluster berkenaan, 39 kluster dengan 1,420 kes melibatkan sub-kategori sekolah atau institusi Kementerian Pendidikan (KPM), 19 kluster dengan 1,870 kes melibatkan sub-kategori pendidikan tinggi, manakala 25 kluster dengan 1,578 kes melibatkan sub-kategori pendidikan lain.

“Bagi institusi pendidikan dengan pelaporan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga mereka, pihak pengurusan hendaklah segera memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran untuk tindakan pencegahan dan kawalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata keperluan penutupan sementara kelas atau premis akan dipertimbangkan hasil penilaian risiko oleh PKD yang meliputi pengesanan kontak dan siasatan lanjut.

"Penutupan sementara itu bertujuan mengelak penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga sektor pendidikan termasuk pelajar, guru, pekerja yang bertugas dan selanjutnya kepada komuniti," katanya.

Beliau menjelaskan apabila PKD atau Jabatan Kesihatan Negeri menerima laporan atau notifikasi kejadian kes positif Covid-19 atau kluster Covid-19, pasukan kesihatan dari PKD akan digerakkan untuk menjalankan siasatan, pengesanan kontak, langkah pencegahan dan kawalan jangkitan serta penilaian risiko.

PKD juga akan menasihatkan pihak pengurusan pendidikan agar pembersihan dan disinfeksi dijalankan.

Dr Adham turut mengingatkan penjagaan kesihatan am terus diamalkan di premis pendidikan seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penjagaan kendiri.

“Jalankan saringan demam dan gejala di pintu masuk sekolah atau premis. Mereka yang tidak sihat atau bergejala dinasihatkan mendapat rawatan dan pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619