AGENDA

Premis makanan dibenar beroperasi sehingga 6 pagi sepanjang Ramadan

12 Apr 2021, 11:18 AM
Premis makanan dibenar beroperasi sehingga 6 pagi sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Kerajaan membenarkan semua restoran, warung, gerai, kedai makan termasuk “coffee house” di dalam hotel serta kedai makanan segera dan perkhidmatan penghantaran di negeri-negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan beroperasi sehingga pukul 6 pagi sepanjang bulan Ramadan ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu diberikan bagi membolehkan orang ramai terutama golongan bujang mendapatkan makanan untuk bersahur.

Bagaimanapun, katanya bagi premis makanan di dalam kompleks beli belah atau pasar raya, ia tertakluk kepada waktu operasi bangunan tersebut

"Kerajaan dapat pelbagai permohonan daripada rakyat untuk beli makanan terutama melibatkan warga bujang. Sebelum ini operasi di kedai makan atau warung dihadkan sehingga 12 tengah malam atau mengikut syarat lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Ini bermakna kedai makanan boleh teruskan operasi sehingga waktu sahur dan orang ramai boleh bungkus makanan atau makan di kedai yang dibuka," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan PKP di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata penganjuran majlis berbuka puasa dibenarkan seperti bufet Ramadan di hotel, restoran dan premis makanan dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Beliau berkata pramusaji dikehendaki menyendukkan makanan kepada pelanggan bagi hidangan secara bufet.

“Mengenai bilangan kehadiran bagi bufet Ramadan di kawasan PKPB dan PKPP, kita benarkan dengan syarat ada penjarakan fizikal antara pengunjung dan SOP kedudukan meja perlulah dua meter (jarak antara satu meja ke meja lain).

“Bagi majlis berbuka kita menggalakkan hidangan set ‘dome’, tapi kalau bufet mesti ada pramusaji untuk sendukkan makanan. Untuk majlis berbuka puasa di pejabat dan dewan, kapasiti 50 peratus daripada keluasan tempat bagi kawasan PKPB manakala 100 peratus di kawasan PKPP mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619