AGENDA

Capaian internet isi rumah meningkat kepada 91.7 peratus pada 2020

12 Apr 2021, 6:11 AM
Capaian internet isi rumah meningkat kepada 91.7 peratus pada 2020

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Peratusan capaian isi rumah kepada internet meningkat kepada 91.7 peratus pada 2020 berbanding 90.1 peratus pada 2019, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata capaian oleh isi rumah terhadap telefon bimbit dan komputer juga masing-masing meningkat kepada 98.6 peratus dan 77.6 peratus pada 2020.

“Survei yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang mana penggunaan internet dalam kalangan masyarakat Malaysia berusia 15 tahun ke atas meningkat dengan ketara kepada 89.6 peratus pada 2020 berbanding 84.2 peratus pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir turut maklum aktiviti internet yang paling popular di Malaysia adalah menyertai rangkaian sosial.

Bagaimanapun semasa pandemik, penggunaan internet meningkat dengan ketara bagi perkhidmatan berkaitan aktiviti pembelajaran, e-kesihatan, e-kerajaan, e-dagang dan hiburan.

"Aktiviti yang berkaitan dengan perkhidmatan itu membuat pesanan barangan atau perkhidmatan atas talian; mendapatkan maklumat kesihatan; menggunakan perbankan internet; menjalani kursus tidak formal atas talian; menjalani kursus formal atas talian; membeli barangan atau perkhidmatan melalui e-Dagang; menonton televisyen secara dalam talian; dan mendapatkan maklumat daripada organisasi kerajaan, yang secara signifikan meningkat melebihi 7.0 mata peratus,” jelas beliau.

Mohd Uzir berkata peratusan membuat pesanan barangan atau perkhidmatan dalam talian seperti melalui telefon, Whatsapp dan Facebook juga telah meningkat kepada 54.4 peratus pada 2020 daripada 22.5 peratus pada 2019.

Semasa pandemik Covid-19, penggunaan internet untuk mencari maklumat atau perkhidmatan berkaitan kesihatan telah meningkat sebanyak 12.0 mata peratus pada 2020, dengan 61.9 peratus pengguna internet mencari maklumat atau perkhidmatan berkaitan kesihatan berbanding 45.2 peratus pada 2019

Mohd Uzir berkata kira-kira 61.9 peratus masyarakat Malaysia menggunakan perbankan internet pada 2020, bertambah 11.4 mata peratus daripada 50.5 peratus pada 2019.

Tanpa mengambil kira saluran pembelajaran dalam talian melalui internet, individu yang mengikuti kursus tidak formal dalam talian meningkat 11.3 mata peratus daripada 9.5 peratus kepada 20.8 peratus pada 2020.

Sementara itu, peningkatan yang ketara dalam peratusan individu yang mengikuti kursus formal dalam talian iaitu daripada 8.1 peratus pada 2019 kepada 18 peratus pada 2020.

Mengenai e-dagang, Mohd Uzir berkata pembelian barangan atau perkhidmatan melalui e-dagang seperti Shoppe, Lazada dan Grab telah meningkat kepada 45 peratus pada 2020 daripada 35.2 peratus pada 2019.

“Peratusan pengguna internet menggunakan saluran e-kerajaan bagi mendapatkan maklumat daripada organisasi kerajaan turut meningkat sebanyak 7.4 mata peratus daripada 45.5 peratus pada 2019 kepada 52.9 peratus pada 2020,” jelas beliau.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619