AGENDA

Prolintas: Penutupan laluan utama ke kondominium hanya sementara

3 Apr 2021, 7:39 AM
Prolintas: Penutupan laluan utama ke kondominium hanya sementara

SHAH ALAM, 3 APRIL: Penutupan laluan utama ke Kondominium Puncak Banyan, Alam Damai bersifat sementara sehingga kerja pengalihan kren gantri projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) selesai.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) selaku pemegang konsesi berkata kerja pengalihan dijangka siap sepenuhnya dalam masa seminggu dan penutupan laluan bertujuan memastikan keselamatan penduduk.

"SUKE dan kontraktor, Syarikat Muhibbah Perniagaan dan Pembinaan Sdn Bhd telah membuka satu lagi laluan khas dengan membina tangga di belakang blok A bagi kemudahan penduduk.

"Ini adalah laluan tambahan kepada laluan sedia ada yang terletak di blok B, Kondo Puncak Banyan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, makluman mengenai perkara itu sudah dijelaskan kepada wakil penduduk pada perjumpaan yang diadakan pada 25 Mac lalu.

Semalam, seramai 300 penghuni Kondominium Puncak Banyan membantah penutupan laluan utama ke kediaman mereka sejak 12 hari lepas.

Susulan itu, Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming yang mewakili penduduk menghantar petisyen kepada pemaju SUKE, Kementerian Kerja Raya dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Mengenai desakan supaya aspek keselamatan di tapak pembinaan ditingkatkan, Prolintas berkata SUKE menempatkan pengawal keselamatan di lokasi untuk membantu dan memantau kawasan sekitar 24 jam sehari.

Katanya, laluan pejalan kaki juga dibersihkan dan diperluas serta lampu limpah juga dipasang untuk keselesaan dan keselamatan penduduk.

"SUKE juga menyediakan khidmat van ulang-alik secara percuma dari jam 7 pagi hingga 9.45 malam selain bekerjasama dengan Universiti UCSI Kuala Lumpur untuk menyediakan tempat letak kereta tambahan kepada penduduk secara percuma."

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619