AGENDA

Anwar gesa kerajaan atasi segera isu daftar vaksin

15 Mac 2021, 2:49 PM
Anwar gesa kerajaan atasi segera isu daftar vaksin

SHAH ALAM, 15 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan supaya menyelesaikan segera isu yang boleh menjejaskan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19.

Menegaskan sokongan terhadap program itu, ketua pembangkang mempersoal isu kira-kira 1.4 juta rakyat tidak mengisi maklumat lengkap untuk menerima suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

"Kita baca laporan atau celoteh warga di ruang maya bahawa terdapat segelintir mereka yang terpaksa mendaftar berkali-kali sebelum proses pendaftaran disahkan di dalam sistem.

"Justeru, apa langkah kerajaan setakat sekarang dalam menyelesaikan masalah ini?" katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Anwar turut mempersoal sama ada kerajaan sudah mengenal pasti kaedah untuk meningkatkan kesedaran oramg ramai terhadap kepentingan mengambil vaksin terutama golongan antivaksin.

"Apa yang telah dilakukan kerajaan dalam meyakinkan gerombolan antivaksin memandangkan ia tidak wajib? Sudahkah kerajaan fikirkan juga isu keselamatan vaksin, memandangkan terdapat juga kumpulan warga yang mempunyai kegusaran terhadap vaksin?" katanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat juga meminta Putrajaya menjelaskan isu ketelusan dalam mendapatkan vaksin dan parameter yang diguna pakai bagi mendapatkan pelbagai jenis vaksin.

"Selain itu, terdapat beberapa laporan yang menyatakan tentang keberkesanan vaksin buatan Rusia iaitu Sputnik V yang jauh lebih murah. Namun, baru sekarang kerajaan mengumumkan telah mendapatkannya. Mengapa ia tidak diuruskan lebih awal?" katanya.

Hari ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kira-kira 1.4 juta individu tidak melengkapkan pendaftaran menerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, mereka hanya mengisi nama dan nombor kad pengenalan untuk pendaftaran penerimaan suntikan vaksin namun tidak menjawab soalan penilaian kesihatan serta melengkapkan alamat terkini masing-masing.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619