AGENDA

LZS sedia makanan kepada 1,250 petugas hospital Sungai Buloh, Selayang

12 Feb 2021, 10:00 AM
LZS sedia makanan kepada 1,250 petugas hospital Sungai Buloh, Selayang
LZS sedia makanan kepada 1,250 petugas hospital Sungai Buloh, Selayang

SHAH ALAM, 12 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan pek makanan kepada 1,250 petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang sejak 10 Februari lalu.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata sumbangan yang diagih setiap Isnin, Rabu dan Jumaat bertujuan menghargai pengorbanan mereka yang bertungkus-lumus mengawal penularan Covid-19.

"Sumbangan ini khusus buat petugas bekerja pada waktu malam memandangkan kantin dan premis makanan beroperasi dalam waktu yang singkat ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Menariknya, sebanyak enam menu berbeza setiap minggu disediakan 100 peratus oleh usahawan trak makanan LZS. Inisiatif ini juga untuk membantu peniaga tersebut tambah pendapatan," kata Saipolyazan M Yusop dalam kenyataan.

Beliau turut memaklumkan sumbangan itu menggunakan peruntukan amil dan tidak menjejaskan bantuan asnaf fakir dan miskin.

[caption id="attachment_460746" align="alignleft" width="449"] Usahawan trak makanan LZS, Mohd Najib Mohd Rais menyediakan masakan panas kepada petugas Hospital Selayang. Foto LZS[/caption]

Sementara itu, usahawan trak makanan LZS, Mohd Najib Mohd Rais melahirkan syukur kerana diberi peluang untuk menyediakan makanan kepada petugas hospital terbabit.

"Hampir 30 peratus pendapatan saya terjejas tetapi rezeki masih ada untuk kami sekeluarga. Mengenai penyediaan makanan ini, saya akan masak di sini (hospital) bagi memastikan kakitangan dapat menikmati juadah ketika masih panas.

"Sekitar pukul tujuh petang makanan akan siap dan mula diedarkan," katanya yang memasak untuk petugas Hospital Selayang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619