EXCO

Lapor lokasi sampah haram, ahli majlis MBSJ diugut

8 Feb 2021, 8:00 AM
Lapor lokasi sampah haram, ahli majlis MBSJ diugut

PUCHONG, 8 FEB: Seorang ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah diugut selepas membuat laporan mengenai aktiviti pembuangan sampah haram.

EXCO kerajaan tempatan berkata perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ahli majlis dilantik Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan menjaga sesebuah kawasan dan kebajikan penduduk.

"Kita kesal dengan kejadian ini namun laporan polis sudah dibuat dan tindakan sewajarnya akan diambil kepada pihak berkaitan yang membuang sampah haram di tebing sungai," kata Ng Sze Han kepada media selepas meninjau lokasi pembuangan sampah haram di Taman Mawar di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid.

Sementara itu Ahli Majlis MBSJ, Kenneth Sam berkata kejadian tersebut tidak akan mematahkan semangatnya walaupun baru sahaja dilantik Januari lalu.

Menurutnya, kejadian dua minggu lalu dialami apabila seseorang menghubunginya memberi amaran supaya tidak mengganggu aktiviti dijalankan di kawasan berkenaan.

"Selain itu, saya turut menerima mesej ugutan. Diharap perkara ini disiasat segera selepas laporan polis dibuat.

"Saya akan pastikan lokasi tersebut dibersihkan selepas ini bagi mengelak pencemaran sungai dan tiada lagi kegiatan pembuangan sampah haram," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619