AGENDA

Bantu atasi kesesakan, hospital swasta kini sedia rawat pesakit Covid-19

2 Feb 2021, 2:17 AM
Bantu atasi kesesakan, hospital swasta kini sedia rawat pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Fasiliti kesihatan di hospital swasta kini bersedia menerima sejumlah pesakit Covid-19 bagi membantu mengurangkan kesesakan pesakit-pesakit Covid-19 yang kini mula memenuhi fasiliti kesihatan kerajaan.

Pengerusi Nexus Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN) Datuk Dr Jacob Thomas berkata hospital swasta menyediakan sebanyak 71 unit ventilator kepada hospital kerajaan di seluruh negara ketika kes yang direkodkan di Unit Rawatan Intensif (ICU) dan Unit Rawatan Koronari (CCU) telah mula menunjukkan penurunan dan ia disahkan Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh, baru-baru ini.

Menurut Dr Jacob, penyedia kesihatan swasta sentiasa menyokong arahan dan usaha kerajaan dalam menangani apa sahaja situasi berkaitan penjagaan kesihatan di Malaysia, lebih-lebih lagi ketika negara diuji dengan peningkatan kes Covid-19 setiap hari.

"Selain itu, terdapat juga pesakit bukan Covid-19 yang dipindahkan ke hospital swasta contohnya pesakit yang perlu menjalani ujian dialisis dan pembedahan. Ini bagi mengurangkan risiko jangkitan dan membantu meningkatkan lagi kapasiti wad dan katil di hospital kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pada 28 Januari lepas berkata penglibatan hospital swasta untuk menguruskan pesakit Covid-19 adalah antara langkah yang telah diambil kementerian bagi menangani peningkatan kes Covid-19.

Sementara itu, Dr Jacob berkata antara langkah yang diambil PHPN dalam membantu kerajaan termasuk menyediakan pusat saringan di hospital swasta serta ujian calitan kepada pekerja-pekerja asing dan setakat ini sebanyak 130 fasiliti swasta menyediakan pusat saringan Covid-19.

“PHPN juga mengambil langkah lebih awal semasa negara dilanda wabak ini dengan mewujudkan model 'Public-Private Partnership' (PPP) untuk merangsang penglibatan pihak swasta dan menambah baik mutu perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh kerajaan," katanya.

Jelasnya, melalui perubahan yang sistematik dan holistik, hospital swasta mampu memaksimumkan sumber daripada pelbagai sudut seperti peralatan, teknologi, kepakaran dan penjagaan pesakit.

"Semua ini, dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti di hospital kerajaan dengan para barisan hadapan kini berdepan tekanan fizikal dan mental dalam mendepani situasi yang sangat mencabar ini," katanya.

PHPN merupakan inisiatif peningkatan produktiviti yang diterajui oleh sektor swasta dan disokong Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619