AGENDA

Hospital swasta tidak dapat terima lagi pesakit Covid-19

29 Apr 2021, 7:46 AM
Hospital swasta tidak dapat terima lagi pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Sebilangan besar hospital swasta, khususnya di Lembah Klang, pada masa ini tidak dapat menerima pesakit Covid-19 lagi kerana peningkatan jumlah pesakit tersebut di fasiliti mereka dalam tempoh 14 hari, menurut Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Presidennya Datuk Dr Kuljit Singh berkata semua katil yang disediakan di wad Covid-19 dan juga wad pengasingan di unit rawatan rapi (ICU) telah dipenuhi.

Beliau berkata hospital swasta menghadapi kekangan dari segi bilangan katil pesakit dan kemudahan ICU yang boleh menampung pesakit Covid-19 serta keupayaan pakar dan jururawat.

“Kami berharap masyarakat memandang serius masalah kekurangan katil di hospital dan lebih bertanggungjawab untuk mencegah penularan serta mematuhi semua SOP (tatacara operasi piawai) yang ditetapkan.

“Ketakutan terbesar adalah jika kita menghadapi penutupan perkhidmatan kesihatan kerana tiada lagi katil dan rawatan oksigen untuk rakyat negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Kuljit turut mencadangkan agar kerajaan menghantar pesakit bukan Covid-19 menerima rawatan di hospital swasta, sebagai langkah segera untuk mewujudkan ruang bagi pesakit Covid-19 dirawat di hospital kerajaan, dengan biaya yang dipersetujui tahun lepas serta dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Beliau berkata hospital swasta secara aktif membantu kerajaan dalam pengurusan bersama pandemik itu termasuk menjalankan ujian saringan Covid-19, menyediakan ventilator kepada hospital kerajaan, menawarkan slot dialisis dan terkini menjalankan vaksinasi ke atas petugas hospital swasta dan tidak lama lagi kepada masyarakat di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Semalam, Malaysia merekodkan 3,142 kes positif baharu Covid-19 dengan 15 kematian, menjadikan keseluruhan kes positifi di negara ini sebanyak 401,593.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619