AGENDA

ATM berkuasa tahan individu ingkar PKP - menteri

19 Jan 2021, 2:51 PM
ATM berkuasa tahan individu ingkar PKP - menteri

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuasa menahan individu melanggar tatacara operasi piawai (SOP) semasa pelaksanaan Ordinan Darurat, namun penekanan lebih diberi kepada penugasan operasi benteng (Op Benteng), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sehingga kini tugas ATM sama seperti biasa termasuk membantu polis memastikan SOP dipatuhi orang awam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Untuk itu ATM masih membantu polis cuma dalam Op Benteng yang diterajui kami sebelum ini, kuasa menangkap pendatang tanpa izin adalah terbatas.

"Jadi bagi tempoh darurat ini, ATM diberikan kuasa sama seperti polis dengan tumpuan Op Benteng di kawasan sempadan negara terutamanya di lorong-lorong tikus bagi mengurangkan kemasukan pendatang tanpa izin di negara ini," katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini.

Ismail Sabri berkata sebelum Ordinan Darurat berkenaan dikuatkuasakan, kuasa ATM amat terbatas sewaktu mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dalam Op Benteng kerana tiada kuasa menahan mereka.

Sebelum ini, Bernama melaporkan bahawa pegawai dan anggota ATM kini mempunyai bidang kuasa menahan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melanggar PKP.

Perkara itu terletak di bawah pelaksanaan Ordinan Darurat, bidang kuasa tentera dan polis adalah sama dan ini akan memudahkan pengurusan Covid-19 dengan lebih baik.

Dalam perkembangan lain beliau berkata pihak polis menahan seramai 590 indvidu kerana mengingkari PKP semalam.

"Sejumlah 553 daripada mereka dikompaun sementara 35 lagi direman sementara dua inidvidu dijamin semalam. Mengenai Op Benteng pula, seramai lapan pendatang tanpa izin ditahan manakala 12 kenderaan darat dirampas semalam," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penghantar makanan yang bekerja di restoran atau kedai makan persendirian sama ada dibenar melalui sekatan jalan raya (SJR), Ismail Sabri berkata mereka dibenarkan melalui SJR sepanjang tempoh PKP.

"Bagaimanapun pengusaha makanan perlu memaklumkan kepada pihak polis serta mengeluarkan surat pengesahan majikan kepada pekerja terlibat manakala bagi penghantar makanan persendirian pula mereka boleh memaklumkan dan memohon sendiri kepada pihak polis," katanya.

Mengenai kebenaran melanjutkan operasi kedai makan kepada pukul 10 malam, Ismail Sabri berkata perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan dan penelitian dari pelbagai aspek.

"Kerajaan mengambil maklum dan prihatin mengenai rungutan dalam kalangan orang ramai yang dan bekerja tidak sempat membeli makanan untuk bawa pulang ke rumah pada waktu operasi sedia ada," katanya.

Ditanya cadangan untuk mengetatkan SOP susulan kes Covid-19 masih membimbangkan selepas tujuh hari pelaksanaan PKP, Ismail Sabri berkata perkara itu akan dinilai dan diputuskan berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum PKP tamat Selasa depan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan menekankan penguatkuasaan terhadap majikan dalam memastikan semua pekerja asing terutama di kilang dan tapak bina menjalani saringan Covid-19 serta mematuhi syarat SOP penginapan ditetapkan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619