AGENDA

PKP: Lebih 100 kenderaan diarah patah balik dalam tempoh tiga jam

16 Jan 2021, 12:32 PM
PKP: Lebih 100 kenderaan diarah patah balik dalam tempoh tiga jam

TAWAU, 16 JAN: Lebih 100 kenderaan diarahkan berpatah balik dalam tempoh tiga jam sehingga 11 pagi tadi selepas gagal memberi alasan munasabah ketika ditahan dalam beberapa sekatan jalan raya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata antara alasan yang diberikan kepada anggota bertugas di sekatan jalan raya termasuk mahu melawat kebun dan ladang tetapi gagal mengemukakan bukti.

"Dianggarkan 100 kenderaan diarah berpatah balik di sekatan jalan raya di Jalan Jambatan Putih manakala di Batu 2 1/2 Jalan Apas juga ada yang diarahkan berpatah balik," katanya ketika dihubungi.

Polis Tawau melaksanakan sembilan sekatan jalan raya termasuk di Pusat Pemeriksaan Daratan atau Road Check Point (RCP) Kalabakan, dengan kekuatan anggota 163 orang dan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada pemandu yang ingkar arahan ketika ditahan dalam sekatan jalan raya.

"Namun setakat pagi tadi pemandu yang diarahkan berpatah balik memberi kerjasama baik.

"Nombor pendaftaran kenderaan yang diarahkan patah balik turut direkodkan bagi tujuan pemantauan sekiranya melakukan kesalahan sama," katanya lagi.

Peter dalam pada itu memohon kerjasama semua pihak supaya tidak keluar rumah tanpa tujuan penting dan alasan munasabah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Duduklah rumah, bantu petugas barisan hadapan memutuskan penularan Covid-19 dengan segera," katanya.

Peter turut mengingatkan orang ramai tindakan kompaun akan dikenakan kepada pihak yang melanggar tatacara operasi piawai ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, 22 pasukan pemantau terdiri daripada anggota polis serta pasukan keselamatan lain, sentiasa bergerak bagi memastikan pematuhan SOP dilaksanakan penduduk sekitar.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619