AGENDA

Penjaja minta kerajaan pertimbang benar operasi pasar malam

16 Jan 2021, 12:08 AM
Penjaja minta kerajaan pertimbang benar operasi pasar malam

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) meminta agar kerajaan mempertimbang untuk membenarkan operasi pasar malam di enam negeri yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agungnya, Mohamed Zamri Mohammed berkata pihaknya akan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi membolehkan pendapatan terus dijana dalam tempoh sukar ini.

“Golongan penjaja ini hampir keseluruhan terdiri daripada golongan B40, sebahagiannya ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' dan tiada simpanan, kalau seminggu dua mungkin masih boleh bertahan, tapi apa akan jadi jika PKP dilanjutkan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘PKP 2.0 Dan Darurat: Nasib Kumpulan Rentan’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Mohamed Zamri berkata beliau yakin golongan penjaja mempunyai kesedaran dan pengetahuan untuk menjalankan perniagaan dalam normal baharu susulan pengalaman PKP pelbagai fasa sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata operasi pasar malam bagi tempoh PKP memerlukan model yang jelas agar memastikan matlamat mengekang Covid-19 tercapai tanpa mengabaikan kebajikan mana-mana pihak.

“Umpamanya, kalau dulu kita boleh masuk ke pasar malam dari mana-mana arah, mungkin boleh wujudkan dan hadkan laluan pintu masuk dan keluar dengan kawalan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

Selain itu, Noor Azlan berkata tahap kesedaran dan disiplin masyarakat untuk membudayakan kawalan kendiri juga memainkan peranan sekiranya golongan penjaja dibenarkan berniaga dalam tempoh PKP.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619