AGENDA

Karya seni warnai ibu negara, penghargaan besar buat pelukis tempatan

27 Dis 2020, 4:32 AM
Karya seni warnai ibu negara, penghargaan besar buat pelukis tempatan
Karya seni warnai ibu negara, penghargaan besar buat pelukis tempatan

KUALA LUMPUR, 27 DIS: "Bagi saya, semua orang boleh buat mural, cuma bagaimana mahu dapatkan standard agar karya kita menjadi perbualan orang ramai sekali gus menjadi tular di media sosial," kata pelukis mural, Ruhizad Mohd Ali.

Ruhizad, 58, merupakan 'tulang belakang' atau ketua kumpulan yang bertanggungjawab melakar dan melukis mural di bawah projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar ibu kota bagi menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara menghargai lokasi terbiar.

Antara lokasi lukisan mural yang dihasilkan menerusi syarikat E&M Services itu meliputi kawasan Medan Pasar, River of Life di Masjid Jamek, Jalan Alor di Bukit Bintang, laluan Bukit Nanas di Jalan Ampang dan terbaru mewarnai kotak jana kuasa elektrik milik DBKL di sekitar ibu kota.

Menariknya, semua lokasi yang menampilkan karya seni jalanan itu menjadi tarikan terbaru buat mereka yang gemar berswafoto atau membidik gambar kenangan untuk dimuatkan dalam media sosial.

"Kami terharu apabila ia mendapat sambutan positif daripada pengunjung. Ia bukan sahaja 'meriah' dengan warna-warni tetapi juga buat mereka rasa lebih selamat apabila melalui sesuatu lorong di situ.

"Contohnya, lukisan mural di Jalan Alor Bukit Bintang yang suatu ketika dahulu menjadi lokasi hitam selain kotor dan busuk sekali gus menakutkan untuk dilalui," katanya kepada Bernama.

Bercerita lanjut, Ruhizad yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang seni kreatif berkata segalanya memerlukan kreativiti dan pemikiran di luar kotak bagi menghasilkan sesuatu karya yang unik.

"Ia adalah projek seni yang besar dan tidak boleh dilakukan bersendirian. Jadi, saya ambil beberapa anak muda yang berpengalaman untuk sama-sama merealisasikan projek ini.

"Kami bantu DBKL menterjemahkan objektif mereka sebagai usaha mewarnai lorong dan bangunan terpilih di sekitar Kuala Lumpur. Alhamdulillah, setelah melihat hasilnya, DBKL berpuas hati," katanya.

[caption id="attachment_454709" align="alignright" width="439"] Pelukis-pelukis mural, Zaimuddin Aziz, 30, (kiri) dan Mahadi Ayob, 36, (kanan) sedang tekun menyiapkan lukisan mural yang memaparkan keindahan kehidupan Flora dan Fauna ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada 4 Disember 2020. Foto: BERNAMA[/caption]

Zaimuddin Aziz, 30, pelukis mural di bawah kendalian Ruhizad menyifatkan kepercayaan yang diberikan DBKL sebagai satu peluang keemasan buat anak-anak muda berkarya.

"Ia merupakan satu platform yang baik untuk pelukis mural mendapat pendedahan awal, sekali gus menimba ilmu daripada pelukis mural berpengalaman.

"Kita sebenarnya ramai artis seni yang berpotensi di negara ini tetapi tidak diberikan ruang dan peluang yang sepatutnya," katanya yang terlibat sebagai pelukis sepenuh masa sejak 2015.

Pada masa sama, Zaimuddin percaya bidang ini mampu pergi lebih jauh kerana industri seni jalanan semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

"Dalam bidang ini kita perlu bijak, malah ia juga mempunyai banyak cabang dan boleh diperluaskan mengikut kreativiti masing-masing," kata lulusan jurusan Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Sementara itu pengasas Bumblebee Consultancy Christine Ngh, berkata seni awam membantu pelbagai pihak bekerjasama dan mewujudkan projek yang bermakna.

Christine berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikatnya bekerjasama dengan DBKL untuk mengenal pasti bangunan yang memerlukan pengindahan atau penambahbaikan di kawasan berprofil tinggi di pusat bandar raya Kuala Lumpur seperti Bukit Bintang, Petaling Street dan Asian Heritage Row.

“Sebaik sahaja lokasi yang sesuai dikenal pasti, kami akan mula mencari pelukis, sekolah seni serta rakan korporat yang sesuai dan bersedia mengusahakan projek berkenaan.

“Pada masa yang sama, DBKL akan melibatkan pihak berkepentingan lain seperti pemilik bangunan, wakil kediaman tempatan, pihak berkuasa tempatan, jabatan utama dalam DBKL (bagi pembersihan, penyelenggaraan dan pemeriksaan kesihatan),” katanya.

Beliau berkata matlamat utama adalah untuk menjayakan projek itu dengan semua pihak berkongsi pemilikan, tanggungjawab dan kos serta mengangkat karya seni yang sesuai dan menarik untuk projek berkenaan.

“Saya berharap dapat terus bekerjasama dengan lebih banyak sektor awam untuk menjemput sektor swasta dan artis, dalam usaha menjadikan Malaysia lebih trendy dan tempat menarik untuk pencinta seni bandar.

“Ia juga untuk meletakkan nama Malaysia di dalam peta yang menawarkan banyak tempat artistik. Apabila lebih banyak pihak memiliki sesuatu projek, ia menjadi lebih bermakna dan skala yang lebih besar membolehkan lebih banyak projek dijalankan,” katanya.

Antara projek lukisan mural yang dihasilkan syarikatnya bersama DBKL dan pihak berkepentingan lain ialah Akid One: Street Artist & Muralist (Tun Razak Exchange), #MyKiehlsHeritage (L'Oreal dan Fritildea), #ChowKitMural, OutcastArt Malaysia (Fox TV, EscapeVA) dan KulSign Festival (Dulux Paint, AirAsia, Disney).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619