AGENDA

Rebat 2 sen/kWj bagi setiap pengguna elektrik pada 2021

23 Dis 2020, 1:25 PM
Rebat 2 sen/kWj bagi setiap pengguna elektrik pada 2021

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Pengguna domestik dan industri akan menikmati rebat elektrik sebanyak dua sen/kWj bermula 1 Jan hingga 30 Jun 2021, demikian diumumkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata dengan pemberian rebat ini, seramai 7.5 juta pengguna domestik akan mengalami penurunan bil elektrik antara 3.6 peratus dan 9.2 peratus manakala pengguna komersial pula akan mengalami penurunan bil antara 4.0 peratus dan 5.2 peratus.

Katanya bil elektrik untuk pengguna industri akan menurun antara 4.6 peratus dan 6.1 peratus.

Shamsul Anuar berkata kerajaan bersetuju untuk mengekalkan purata tarif asas Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada kadar 39.45 sen/kWj bagi tahun 2021.

“Rebat yang kali pertama dinikmati sejak Julai tahun 2018 ini akan dinikmati oleh semua pengguna elektrik TNB, domestik dan bukan domestik.

“Langkah ini diambil berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh Regulatori Kedua TNB di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) sehingga 31 Dis 2021,” katanya semasa mengumumkan kadar tariff elektrik baharu bagi tahun depan di sini hari ini.

Katanya kerajaan juga bersetuju untuk melepaskan penjimatan kos bahan api kepada semua pengguna TNB berikutan penurunan harga bahan api arang batu dan gas pada separuh kedua tahun 2020.

Ini selaras dengan pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Jan - 30 Jun 2021.

“Kerajaaan berharap pemberian rebat ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat serta menurunkan kos menjalankan perniagaan yang terkesan berikutan penularan pandemik Covid-19,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619