AGENDA

Masyarakat perlu lebih sedar risiko diabetes, amal gaya hidup sihat

14 Nov 2020, 6:34 AM
Masyarakat perlu lebih sedar risiko diabetes, amal gaya hidup sihat
Masyarakat perlu lebih sedar risiko diabetes, amal gaya hidup sihat

GEORGE TOWN, 14 NOV: Sempena Hari Diabetes Sedunia hari ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa rakyat agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan risiko diabetes yang kini berada di tahap yang membimbangkan.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata Malaysia berada di tangga teratas dalam Asia Tenggara yang mempunyai paling ramai penghidap diabetes dan tangga keenam di rantau Pasifik Barat.

“Di Malaysia, di sebalik pelbagai kempen mencegah kelaziman diabetes terutama diabetes jenis dua, kes diabetes telah meningkat ke tahap epidemik (wabak). Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 (NHMS 2019), seorang dalam lima orang dewasa atau sekitar 3.9 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas menderita penyakit diabetes. Kelaziman diabetes di Malaysia telah meningkat kepada 18.3 peratus, berbanding cuma satu sehingga dua peratus pada 1960.

“Menurut Buletin Perangkaan Sosial Malaysia 2019, diabetes merupakan satu daripada 10 penyebab kematian utama pada 2018. Ia adalah penyakit kronik yang boleh dicegah dan bagi mereka yang sudah menghidapinya, diabetes boleh diurus, diperlahankan atau dicegah komplikasinya dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan memilih makanan yang berkhasiat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, diabetes di Malaysia dijangka berterusan dan naik pada kadar yang tinggi disebabkan gaya hidup tidak sihat seperti tabiat makan terlalu banyak, makan makanan tidak berkhasiat, kurang bersenam, mengambil gula dan garam secara berlebihan setiap hari, pengambilan daging berlebihan dan kekurangan tidur dan rehat yang mencukupi.

Dalam pada itu, CAP menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak-pihak yang bertanggungjawab supaya meningkatkan usaha untuk mendidik rakyat mengenai bahaya obesiti dan diabetes serta makanan yang tidak berkhasiat.

Serta menyediakan kemudahan rekreasi yang mencukupi, mewajibkan pengeluar makanan supaya melabel jumlah natrium dan kandungan lemak dalam produk, mengharamkan mesin minuman di sekolah, hospital dan lain-lain tempat awam serta mengadakan kempen untuk mendidik ibu bapa dan anak-anak mengenai bahaya obesiti dan diabetes.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619