AGENDA

Penduduk Medan 88 tidak kembali sila serah diri atau ditahan polis - menteri

14 Nov 2020, 3:37 AM
Penduduk Medan 88 tidak kembali sila serah diri atau ditahan polis - menteri

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang masih dikesan tidak kembali ke kawasan itu selepas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Rabu lepas diminta tampil menyerah diri serta-merta atau akan ditangkap polis.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka diminta kembali ke kawasan berkenaan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai langkah memutuskan rantaian wabak itu.

“Kami tidak kisah sama ada mereka lari atau takut hendak balik (kerana Medan 88 dikenakan PKPD), apa yang penting mereka ini menyerah diri dan kami akan tangkap mana-mana majikan yang bersubahat melarikan mereka.

“Selain itu, kami hendak mereka balik supaya penduduk di kawasan itu boleh membuat ujian saringan Covid-19 dan mengetahui status kesihatan mereka agar ia tidak menjangkiti orang lain,” katanya selepas program Ruang Bicara Bernama TV : “Belanjawan 2021 : Memperkasa Pertahanan”, di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan penduduk Medan 88 yang dikesan tidak kembali ke kawasan itu selepas dikenakan PKPD.

“Saya risau sekiranya mereka keluar dan pergi ke tempat lain lalu menjangkiti orang lain dengan Covid-19, maka ia akan menjadi lebih sukar untuk memutuskan rantaian wabak ini. Jika ada daripada mereka yang telah balik, alhamdulillah, yang mana belum balik jangan sampai kena tangkap,” katanya.

Pada 12 November lepas, Bernama melaporkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang meminta bantuan polis untuk mengesan kira-kira 400 penduduk Medan 88 yang tidak pulang ke kediaman selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawat berduri bagi pelaksanaan PKPD.

Sebelum ini, Ismail Sabri dalam sidang media berkata polis sedang mengesan individu yang melarikan diri berkenaan.

Semalam, Bernama melaporkan Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lokasi pekerja yang tidak pulang daripada majikan dan rakan-rakan sekerja mereka yang terbabit.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619