AGENDA

Polis: Penduduk Medan 88 tidak larikan diri kerana PKPD

13 Nov 2020, 9:41 AM
Polis: Penduduk Medan 88 tidak larikan diri kerana PKPD

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang tidak melarikan diri sebaliknya mereka ketakutan apabila melihat kawasan perumahan mereka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuatkuasa Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ramai penduduk dari kawasan berkenaan berada di tempat kerja pada waktu siang dan tidak mengetahui apa yang berlaku di kediaman mereka.

Beliau berkata mereka pulang kerja dan melihat tentera memasang kawat berduri dan polis mengepung bangunan, menyebabkan mereka takut untuk masuk ke kawasan berkenaan.

“Tidak ada individu yang melarikan diri kerana kawasan mereka dikepung disebabkan PKPD seperti mana laporan berita yang dilaporkan sebelum ini.

“Terdapat antara 700 hingga 800 penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan dan lebih kurang 400 daripadanya masih belum membuat saringan Covid-19,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 13 penduduk Medan 88 yang disyaki lari dari PKPD telah kembali ke kediaman masing-masing, sejak pukul 9 malam semalam.

Wan Kamarul Azran berkata mereka yang kembali ialah 10 lelaki dan tiga wanita yang terdiri daripada tujuh warga asing dan tiada sebarang tangkapan dibuat.

Beliau berkata usaha bagi mengesan saki-baki penghuni yang masih tidak pulang sedang dijalankan dengan kerjasama penduduk dan jiran-jiran di kawasan itu.

Semalam, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata polis sedang mengesan kira-kira 400 penduduk Medan 88 yang tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas kawasan itu diumumkan di bawah PKPD.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619