AGENDA

5,200 penduduk Gugusan Semarak dikenakan PKPD mulai hari ini

6 Ogos 2021, 12:03 AM
5,200 penduduk Gugusan Semarak dikenakan PKPD mulai hari ini

PETALING JAYA, 6 Ogos: Seramai 5,200 penduduk di Gugusan Semarak, PJU 5, Kota Damansara di sini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam tadi.

Pegawai Daerah Petaling Dato’ Johary Anuar berkata pelaksanaan PKPD itu susulan peningkatan kes Covid-19 terutama dalam kalangan penduduk bukan warganegara.

"Sepanjang tahun 2021, Gugusan Semarak merekodkan sebanyak 350 kes positif Covid-19. Kawasan ini menunjukkan trend peningkatan kes yang ketara kebelakangan ini.

"Turut membimbangkan juga terdapat kes positif di kalangan bukan warganegara yang tidak dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling," katanya pada sidang media di kawasan berkenaan tengah malam tadi.

Beliau berkata pemberian vaksin akan dilaksanakan kepada penduduk seperti PKPD di beberapa kawasan di Petaling Jaya sebelum ini.

"PKD Petaling akan melaksana aktiviti saringan dan selepas mengenal pasti penduduk yang negatif kita akan jalankan aktiviti vaksinisasi kepada mereka.

"Selain itu kita juga akan mengedarkan 1,040 bakul makanan kering kepada semua penduduk. Bakul makanan kering ini adalah sumbangan daripada Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad," katanya.

Tambahnya, PKPD Gugusan Semarak melibatkan 13 blok pangsapuri lima tingkat dengan 1,040 unit rumah membabitkan 5,200 individu yang terdiri 60 peratus warganegara dan 40 peratus lagi warga asing.

Pada 4 Ogos, Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan Gugusan Semarak antara 13 lokaliti yang dikenakan PKPD bermula 6 Ogos sehingga 19 Ogos depan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619