AGENDA

Sultan Selangor ucap tahniah petugas Hospital Sungai Buloh terima anugerah global

2 Nov 2020, 7:53 AM
Sultan Selangor ucap tahniah petugas Hospital Sungai Buloh terima anugerah global

SHAH ALAM, 2 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mengucapkan tahniah kepada dua petugas Hospital Sungai Buloh yang menerima pengiktirafan Anugerah Kesihatan Global (GHA 2020).

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkata baginda berbangga dengan pencapaian Dr C Suresh Kumar dan Dr Shaiful Azman Zakaria yang menunjukkan dedikasi serta komitmen tinggi dalam menangani wabak Covid-19.

"Baginda berharap petugas barisan hadapan terus tabah dan cekal dalam menjalankan tugas masing-masing merawat pesakit Covid-19," titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Selangor Royal Office di Facebook hari ini.

Semalam, Dr C Suresh yang juga ketua Jabatan Penyakit Berjangkit dan Dr Shaiful Azman iaitu ketua Jabatan Anestesia dan Rawatan Rapi, kedua-duanya dilaporkan menerima GHA 2020 sebagai pejuang Covid-19.

Sultan Sharafuddin juga mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis lebih tegas membuat pemantauan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan peningkatan kes baharu pandemik.

"Baginda kecewa kerana masih terdapat segelintir pihak yang tidak mengambil serius, lalai dan ingkar dalam mematuhi arahan PKPB khususnya pengendali premis hiburan dan makanan.

"Baginda khuatir sekiranya kedegilan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di bawah PKPB ini berterusan, penularan wabak berbahaya Covid-19 ini sukar untuk dibanteras sepenuhnya," katanya.

Semalam, Selangor mencatat 225 kes positif wabak menjadi jumlah kes harian tertinggi setakat ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619